Hati siapa yang tak luluh bila membaca kisah seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat, ditinggalkan di peti pelindung bayi bersama dua keping nota kecil.
Dalam nota tersebut, terselit harapan yang menyayat hati memohon agar si kecil itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Memetik laporan Sinar Harian, ketika ditemui bayi berkenaan ditinggalkan bersama dua keping nota. Nota berkenaan memohon supaya bayi berjantina perempuan itu dijaga dengan penuh kasih sayang. Bukan itu sahaja, turut memesan supaya nama bayi itu tidak diubah.
Menurut Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nur Halimatussa’diyah Abu Yazid berkata, nota dipercayai diletakkan ibu bapa bayi tertulis dengan beberapa ayat.
“Ayat tersebut ialah ‘Tolong jaga anak kami dengan baik dan penuh kasih sayang. Maaf sebab susahkan. Kalau boleh tolong jangan ubah nama anak ini. Terima kasih banyak-banyak’.
“Satu nota lagi ditulis perkataan ‘Alia Majidah binti Al-Hafiz/Abdullah’,”katanya.
Menurut Nur Halimatussa’diyah, kejadian pada jam 12.05 tengah malam 15 September itu disedari petugas Orphan Care Foundation, Taman Ria Jaya di sini setelah loceng penggera dibunyikan secara automatik apabila bayi diletakkan dalam peti pelindung.
“Bayi yang dipercayai dilahirkan pada 14 September itu dibalut menggunakan tuala dan dihantar bersama lampin pakai buang serta dua nota tersebut,” katanya.
KINI BAYI SUDAH BERUSIA 2 BULAN
Bagaimanapun, bayi perempuan yang kini memasuki usia lebih dua bulan itu, telah dipersetujui didaftarkan atas nama Alia Majidah Abdul Hafiz.
Nur Halimatussa’diyah berkata, pada 29 Oktober lalu, satu perintah jagaan sementara telah diperoleh sebagai keizinan meletakkan bayi di tempat selamat.
Jelasnya, tujuan siaran media ialah bagi mengenal pasti waris bayi perempuan berkenaan sebelum tindakan lanjut dilakukan.
“Orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat berkaitan bayi terbabit, diminta menghubungi Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda di talian 04-4204900,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya tiada waris yang tampil selepas tempoh tuntutan tamat, bayi berkenaan akan diserahkan kepada orang layak dan sesuai untuk dipelihara.
Sumber: Sinar Harian
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.