SHAH ALAM – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu masih lagi ‘dilindungi’ dan boleh bergerak bebas di negara yang tidak menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ICC ditadbir mengikut Statut Rom dan berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.
Menurutnya, banyak negara besar yang tidak menurunkan tandatangan untuk meratifikasi konvensyen tersebut termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun dan Malaysia.
“Hanya 124 negara anggota badan itu sahaja boleh tangkap kalau Netanyahu datang negara mereka. Maknanya, negara berkenaan boleh tangkap dan bicarakannya di tempat tersebut.
“Mana-mana negara yang tidak tandatangan Statut Rom, tak boleh tangkap dan serahkan kepada Mahkamah Antarabangsa jika Netanyahu datang. Sungguhpun begitu, pergerakan pemimpin zionis itu terhad kerana dia kini individu paling dikehendaki kerana jenayah yang dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Ahmad Marthada, walaupun tidak menandatangani Statut Rom, Malaysia masih boleh memainkan peranan dengan memberikan tekanan berterusan kepada Israel.
Beliau turut memuji langkah berani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengusulkan penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya lihat itu satu seruan dan tindakan yang kuat, menandakan Malaysia tak iktiraf negara Zionis itu. Ia cadangan bernas serta perlu dibahaskan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.