KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji semangat juang luar biasa yang dipamerkan pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada aksi final kejohanan Masters China 2024 hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Ahmad Zahid berkata, walaupun mereka tewas kepada gandingan nombor dua dunia dari China, kedua-dua pemain badminton negara itu menampilkan aksi yang memukau dan mendebarkan kepada penonton.
“Semangat juang dipamerkan mereka luar biasa. Kalah kali ini bukan penamat sebaliknya pembakar semangat untuk capai kejayaan lebih tinggi. Tahniah, anda telah membanggakan semua rakyat Malaysia! (Well done, you have made all Malaysians proud!),” katanya.
Pang Ron-Su Yin muncul naib juara kejohanan bertaraf Super 750 itu setelah tewas 23-21, 23-25, 16-21 kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam pertarungan selama 93 minit di Gimnasium Shenzhen. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.