KOTA BHARU – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini menggesa kerajaan Kelantan membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan keabsahan.
ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penting untuk perkara itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana tiada tindakan lanjut yang diambil oleh pihak kerajaan negeri Kelantan sejak menolak Akta Wilayah Laut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan 5 November 2015.
“Sekarang ini adalah masa yang terbaik untuk pihak kerajaan Kelantan memperlihatkan kesungguhan untuk mendapatkan royalti petroleum dan tidak sekadar mahu ‘menunggang’ isu ini untuk mencipta polemik demi meraih keuntungan politik.
“Ditambah pula beberapa ADUN kerajaan Kelantan adalah peguam yang sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan kos guaman bakal ditanggung kerajaan ini supaya pembaziran wang rakyat dalam kos Guaman Peguam terhadap kes saman Petronas yang ditarik balik pada 28 Jun 2019 itu tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan bersama ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri, di sini, pada Ahad.
Menurut Mohd Syahbuddin, barisannya menyatakan pendirian menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk kerajaan negeri Kelantan menuntut royalti petroleum negeri itu, sekiranya adalah benar-benar hak milik negeri terbabit.
“Seperti mana yang selalu disebutkan oleh beberapa Ahli Parlimen dari negeri Kelantan di sidang Dewan Rakyat antara faktor utama menghalang kepada tuntutan royalti ini adalah penggunaan peruntukan Akta Wilayah Laut 2012, yang mana kerajaan negeri Kelantan melalui Dewan Undangan Negeri pada 5 November 2015 telah menolak Akta Wilayah Laut 2012 dari diimplementasikan di Kelantan.
“Namun begitu, kami melihat tuntutan royalti yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan sejak 2009 terdapat pasang surutnya dan sekian lama membawa isu ini,” katanya.
Tambah beliau, Kelantan mempunyai peluang terbaik mendapatkan hak royalti ini terutama semasa kerajaan Persekutuan dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa Ahli Parlimen Pas Kelantan yang konsisten membawa isu ini turut berada dalam Kabinet.
“Ditambah pula, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika itu dilantik menjadi Menteri Undang-undang.
“Sewajarnya Menteri Undang-Undang sudah boleh menasihati Perdana Menteri ketika itu untuk melihat kewajaran Akta Wilayah Laut 2012 yang ditolak oleh Kelantan pada 2015,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.