IPOH – MIC Perak menyasarkan tambahan keahlian baharu sehingga 200,000 dalam tempoh dua tahun.
Pengerusinya, Tan Sri M Ramasamy berkata, ketika ini jumlah keahlian MIC di Perak seramai lebih 100,000 orang.
Jelas beliau, pertambahan keahlian sangat penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita akan meningkatkan jumlah cawangan dan ahli-ahli MIC di Perak. Kita mahu tambah ahli-ahli yang berusia 18 tahun.
“Perkara ini bukan mudah kerana jumlah pengundi India di Perak ketika ini kira-kira 249,000 dan akan datang mungkin 280,000 orang dengan tambahan pengundi baharu,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Sementara itu, Ramasamy berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta menteri berkaitan mengenai beberapa permasalahan melibatkan masyarakat India.
Menurutnya, antara isu yang banyak diterima termasuklah peluang lebih ramai pelajar India yang cemerlang untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Jelasnya, selain itu masalah sama turut berlaku bagi lepasan matrikulasi yang perlu ditingkatkan lagi kuota.
Ramasamy berkata, isu kekurangan pengambilan kakitangan awam dalam kalangan masyarakat India juga turut diminta untuk ditangani oleh kerajaan.
Beliau berharap isu-isu tersebut dapat diselesaikan bagi membantu mengembalikan keyakinan masyarakat India kepada MIC.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.