Bomba guna helikopter hadapi banjir besar luar jangka

Nor Hisham (tiga, kiri) menyampaikan sijil kepada peserta Latihan Kursus Asas Sijil Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang.

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggerakkan helikopter bagi melancarkan kerja-kerja menyelamat sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter AW189 yang ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini untuk kegunaan tiga negeri Pantai Timur yang berisiko banjir.

Menurutnya, sesi taklimat khas berkenaan pengoperasian pesawat terbabit akan dijalankan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik terutama jika berlaku bencana banjir luar jangka.

Nor Hisham memeriksa perbarisan pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Sijil Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang pada Ahad.

“Kita telah menggerakkan pesawat AW189 sebagai persediaan banjir di Pantai Timur, ia akan beroperasi di Wakaf Tapai di sini bagi membolehkan bergerak lebih cepat jika kejadian banjir berlaku di luar jangkaan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Sijil Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, pihak JBPM akan melaksanakan pembekuan cuti membabitkan kira-kira 6,000 anggotanya di lima negeri yang diramal banjir sepanjang MTL kali ini iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak.

“Buat masa ini cuti anggota kita hadkan, hanya 20 peratus dibenarkan bercuti dalam satu-satu masa.

Nor Hisham (tengah) merakam gambar bersama peserta Latihan Kursus Asas Sijil Kebombaan Siri 1 Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang.

“Bagaimanapun, minggu lepas kita telah maklumkan kepada semua Pengarah Bomba Negeri yang dijangka terlibat banjir supaya bersiap sedia mengeluarkan arahan pembekuan cuti dan pertukaran syif anggota daripada 12 jam ke 24 jam pada bila-bila masa.

“Arahan itu berkuat kuasa serta-merta sebaik ramalan banjir luar jangka atau luruan monsun hujan lebat tahap merah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, JBPM telah menubuhkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) di 22 lokasi seluruh negara untuk menghadapi MTL.

“Sebagaimana ramalan oleh MetMalaysia, kita ada lima atau enam ramalan hujan lebat yang mana hujan lebat baru-baru ini merupakan gelombang pertama.

“Apa yang kita khuatir ialah ramalan mengenai siri hujan lebat disertai luruan monsun, angin sejuk dari Siberia masuk dan (dalam masa sama) terdapat angin kencang serta hujan lebat berlaku di lokasi-lokasi tumpuan di mana anggota perlu bersiap sedia untuk operasi menyelamat.

“Selain itu ramalan air pasang besar pada 27 dan 28 November ini serta 15 dan 16 Disember depan perlu diberi tumpuan, ” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply