Gagal bina rumah mampu milik, tiga pemaju dikenakan notis kaveat

Mohd Jafni pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI – Kegagalan tiga syarikat pemaju perumahan membangunkan rumah mampu milik di Johor menyebabkan mereka dilarang menjual hartanah dimajukan selepas dikenakan notis kaveat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan tegas itu dibuat supaya pemaju melaksanakan Dasar Rumah Mampu Milik.

Menurut beliau, menerusi Polisi Perumahan Mampu Milik Johor, pemaju disyaratkan membina rumah mampu milik bagi setiap perumahan pasaran bebas yang mereka bangunkan di negeri ini.

“Tiga syarikat pemaju diberi notis kaveat yang menghalang hartanah dibangunkan dijual, sehingga kerajaan negeri beri pelepasan selepas mereka bangunkan rumah mampu milik yang dijanjikan.

“Kita bukan kaveat satu projek pembangunan sahaja, namun keseluruhan projek pembangunan pemaju berkenaan di negeri ini, dengan pelaksanaannya sudah dibuat sejak tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, hartanah tidak terjual di negeri ini semakin berkurang hasil inisiatif kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kebanyakan hartanah yang berjaya dijual itu membabitkan kediaman bertanah atau teres yang sudah terjual 70 peratus.

“Hartanah tidak terjual di Johor ketika ini sebenarnya membabitkan kategori pangsapuri perkhidmatan yang berharga RM300,000 ke atas,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply