KOTA BHARU – Kelantan menerima peruntukan bernilai RM2.8 juta untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan diterima melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) itu bertujuan melaksanakan usaha mengurangkan kebergantungan sumber makanan yang perlu diimport.
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk pembangunan tanah Agrovalley Rong Chenok, Pasir Mas yang berkeluasan 16.1 hektar.
“Pembinaan struktur antaranya reban ayam bertutup secara automatik, pembangunan pusat akuakultur ikan air tawar, penambahbaikan infrastruktur pengairan sumber air bagi tanaman dan ternakan.
“Pembinaan reban ayam itu bagi menyahut seruan kerajaan agar ternakan ayam dijalankan secara tertutup menjelang 2030 dan usaha perbadanan dalam membantu mengurangkan kebergantungan sumber ayam pedaging dari luar negeri seperti Perak mahupun import dari Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zubir Abu Bakar (Pas-Mengkebang) berkait pencapaian PKPN pada Persidangan Kali Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.
Tuan Mohd Saripudin memberitahu, pembangunan akuatultur pula bagi mengurangkan kebergantungan penternak mendapatkan sumber benih ikan air tawar seperti keli dan tilapia merah dari negeri seperti Kedah dan Perak.
“Dengan adanya projek penambahbaikan infrastruktur pengairan dari Danau Tok Uban akan dapat menyelesaikan masalah sumber air bagi ternakan serta tanaman terutama pada musim kemarau yang panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd Saripuddin berkata, projek-projek pembangunan berkenaan sedang berjalan dan akan memberi impak yang positif kepada pertanian serta penternakan setempat kepada seluruh rakyat negeri ini.
Beliau berkata, bagi tahun 2025, PKPNK akan meneruskan tiga lagi projek pembangunan termasuk projek pembangunan ternakan ruminan iaitu ternakan lembu jenis baka Kedah-Kelantan di Kampung Wek, Machang, projek ternakan ayam kampung jenis Saso dan juga ternakan ikan kerapu di Kampung Genting, Tumpat.
“Ketiga-tiga projek berkenaan bakal dijalankan pada tahun depan dan telah mendapat kelulusan daripada Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan (PKPNK),” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.