Projek ciptaan guru Sabah raih anugerah ELTons British Council 2024

Sirhajwan Idek. Sijil kemenangan yang diperoleh Sirhajwan Sidek bagi Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris (ELTons) British Council 2024.

SHAH ALAM – Seorang guru kelahiran Sabah berjaya mencipta rekod baharu apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris (ELTons) British Council 2024.

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Kolej Vokasional Keningau, Dr Sirhajwan Idek berkata, beliau dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan tersebut bagi kategori inovasi tempatan dengan projeknya yang bertajuk ‘Virtual, Remote, Live’ (VRL).

“VRL merupakan satu projek pengantarabangsaan yang dilaksanakan secara maya. Daripada berpuluh-puluh permohonan yang diterima dari 60 buah negara, empat projek berjaya tercalon sebagai finalis bagi kategori tersebut.

“Pada akhirnya, saya diumumkan sebagai pemenang dan menjadi warga Malaysia pertama yang memenangi anugerah ELTons daripada British Council,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, program berkenaan merupakan anugerah paling berprestij di dunia bagi inovasi Bahasa Inggeris dalam bidang pengajaran, pembelajaran dan penilaian.

Menurutnya, acara berkenaan dianjurkan oleh British Council setiap tahun dan badan tersebut membuka penyertaan kepada seluruh dunia untuk lima kategori yang dipertandingkan.

“Projek inovasi saya iaitu VRL merupakan program yang membolehkan pelajar dan guru untuk berinteraksi dengan pelajar serta guru dari negara lain menerusi aktiviti dalam talian seperti kelas induk, pembentangan persidangan dan pertukaran budaya.

“Projek itu juga berjaya melibatkan lebih 2,000 pelajar dan guru dari Malaysia dan beberapa negara lain. Melalui sesi dalam talian yang dilaksanakan, mereka mempelajari pelbagai topik serta membentang hasil kerja sambil mempraktikkan Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga kini sudah ramai pelajar berjaya mengaplikasikan setiap perkara yang dipelajari daripada aktiviti daripada program tersebut dan memperkembangkan impak projek masing-masing.

“Saya gembira dengan kemenangan projek tersebut kerana ia memberi makna bahawa VRL telah membawa perubahan yang positif kepada dunia pendidikan.

“Memandangkan saya merupakan guru Bahasa Inggeris yang tekad memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan penggunaan bahasa tersebut, pertandingan ini adalah satu peluang yang mampu membantu saya menyebarluas serta menambah baik projek berkenaan.

“Sebagai seorang pendidik, apabila sesuatu perkara berkait rapat dengan pendidikan sudah pasti kita sentiasa ingin pelajar terus berjaya menerusi kaedah meningkatkan kemahiran dan prospek masa hadapan.

Tambah beliau, penguasaan dalam Bahasa Inggeris memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar untuk berjaya di dunia luar dan meningkatkan kemahiran berfikir serta berinteraksi.

Katanya, ia juga mampu menanam sikap yang positif terhadap kemampuan diri sendiri dan keinginan untuk sentiasa menimba ilmu.

“Untuk kejayaan projek ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada ibu saya, Bintek Abdul Rahman kerana sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada saya hingga berada di tahap ini,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply