Dr Taufiq kritik pentadbiran Sanusi ekoran pelabur tarik diri

Hantaran dimuat naik Dr Mohammed Taufik di akaun rasmi X miliknya pada Sabtu. Dr Mohammed Taufik (kiri).

SUNGAI PETANI – Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mendakwa, keputusan Bin Zayed International LLC menarik diri daripada projek RM40 bilion Langkasuka di Langkawi membuktikan kegagalan serius pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu berkata, projek yang dijanjikan sebagai pemangkin kemajuan Langkawi tersebut kini berpotensi terbengkalai akibat kelemahan kepimpinan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu, Pengarah Urusan Kumpulan BZI, Sheikh Midhat Kidwai menyatakan syarikat tidak lagi melihat potensi keuntungan dalam projek ini sejak tahun 2022.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam merancang dan mengurus projek mega yang melibatkan pelaburan besar.

“Lebih membimbangkan, pentadbiran Menteri Besar tidak mampu menyediakan asas infrastruktur dan polisi yang diperlukan untuk menarik serta mengekalkan keyakinan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di akaun rasmi X miliknya pada Sabtu.

Tambah Dr Mohammed Taufik, Menteri Besar Kedah tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak lain apabila pelabur antarabangsa menarik diri.

Beliau berpandangan, kegagalan itu adalah hasil langsung daripada kurangnya perancangan strategik dan dasar yang lemah.

“Adakah ini pentadbiran yang mahu diamanahkan untuk membawa perubahan kepada Kedah? soal beliau lagi.

Menurutnya, rakyat Kedah kini bimbang akan kesan limpahan daripada isu ini memandangkan tahun depan adalah Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).

“Jika situasi ini terus berlanjutan, ia mungkin akan menjejaskan imej Kedah sebagai destinasi pelancongan dengan pelancong memilih untuk melawat lokasi lain seperti Thailand yang menawarkan infrastruktur lebih baik dan peluang pelancongan yang lebih menarik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Muhammad Sanusi untuk mengambil akauntabiliti dan tampil menjelaskan kegagalan berkenaan secara telus.

Beliau menyatakan, rakyat Kedah khususnya di Langkawi berhak mendapat jawapan atas kekecewaan berkenaan termasuk pelan pemulihan yang akan dilaksanakan untuk mengelakkan kegagalan serupa di masa hadapan.

Dr Mohammed Taufik berkata, Menteri Besar Kedah perlu memahami bahawa setiap kegagalan projek seperti itu membawa implikasi besar kepada ekonomi dan nama baik negeri.

“Sudah tiba masanya untuk mengutamakan kepentingan rakyat, bukan sekadar membuat janji dan pengumuman sahaja, namun tiada tindakan yang konkrit,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, ia kerana mereka mahu memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply