SHAH ALAM – Sebanyak 44 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan parti politik menuntut kerajaan meminda segera undang-undang bagi mewajibkan semua parti politik meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan 37 CSO dan tujuh parti politik termasuk Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) berkata, tuntutan itu disuarakan mereka menerusi pelancaran kempen Projek 30 Peratus pada Sabtu.
Kumpulan berkenaan menegaskan, ia kerana negara memerlukan satu rangka kerja kuota yang digubal untuk memberi insentif kepada parti politik bagi mempercepatkan perubahan.
“Kami sebagai masyarakat sivil menyeru semua parti politik dengan segera tanpa pengecualian untuk memberi komitmen terhadap visi kesaksamaan gender dalam politik dan pembuat keputusan.
“Kami menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menetapkan nada dengan menyeru semua parti politik untuk melaksanakan apa yang sudah pun menjadi dasar kerajaan sejak awal iaitu pada 2006 dan memberi komitmen untuk meminda undang-undang pilihan raya yang berkaitan untuk merealisasikannya,” kata kumpulan tersebut.
Projek 30 Peratus terbabit dilancarkan selepas kumpulan berkenaan mengadakan persidangan dengan individu yang prihatin dan ahli akademik untuk bersama-sama membincangkan realiti semasa, isu dan cabaran yang dihadapi oleh wanita dalam parti politik serta untuk mendapatkan sokongan dan penjajaran yang lebih besar.
CSO lain yang terlibat antaranya Joint Action Group for Gender Equality (JAG), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), CSO Platform for Reform (CSOP4R), Women’s Centre for Change Penang (WCC), Tenaganita, Women’s Aid Organisation (WAO) dan Undi18.
Justeru, kumpulan itu menegaskan, objektif serampang dua mata Projek 30 Peratus adalah untuk memacu semua parti politik meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita di negeri dan Persekutuan selain pindaan undang-undang pilihan raya segera dilakukan untuk tujuan tersebut menjelang PRU16.
“Wanita amat kurang diwakili dalam badan pembuat keputusan tertinggi Malaysia iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada masa ini, wanita membentuk 13.5 peratus) ahli Parlimen di Dewan Rakyat (14.8 peratus dalam Dewan Negara yang dilantik) dan 12.2 peratus sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN.
“Ini menggariskan ketidakadilan dalam kesaksamaan gender di Malaysia iaitu apabila seseorang membandingkan angka ini dengan fakta bahawa wanita dan kanak-kanak perempuan membentuk hampir 50 peratus daripada populasi,” ujar mereka.
Kumpulan terbabit menambah, ketiadaan ahli Parlimen dan ADUN wanita secara besar-besaran iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus bukan sahaja melemahkan suara wanita dalam membentuk dasar yang mempengaruhi kehidupan mereka tetapi juga mengekalkan ketidaksamaan gender yang lebih luas dalam landskap sosioekonomi dan politik negara.
Kata mereka, ketidaksamaan itu terutamanya berkait isu-isu yang menjejaskan wanita dan kanak-kanak secara tidak seimbang seperti kerja asuhan tanpa gaji, gaji tidak sama rata dan penyertaan tenaga buruh, keganasan rumah tangga, gangguan seksual, perkahwinan kanak-kanak dan ketiadaan kewarganegaraan.
“Wanita daripada kumpulan minoriti lebih terpinggir, mengakibatkan kekurangan kepelbagaian di kalangan wanita yang sudah kurang diwakili dalam politik. Tiada wanita Orang Asli atau orang kurang upaya (OKU) yang pernah memegang kerusi di Dewan Rakyat.
“Kesimpulannya, terdapat halangan sosiobudaya dan struktur yang menyekat kemajuan ke arah pariti (kesamaan) gender dalam perwakilan politik apatah lagi untuk mencapai ambang 30 peratus. Satu laporan menunjukkan bahawa ia akan mengambil masa 135.6 tahun untuk menutup jurang gender dalam pemerkasaan politik berdasarkan penilaian laporan tersebut terhadap trajektori Malaysia,” kata mereka.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.