‘Negeri pembangkang tidak dipinggir malah jumlah royalti lebih tinggi’

Anwar (dua dari kiri) berucap pada Sesi Townhall bersama Perdana Menteri sempena Program Dua Tahun Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pendirian politik tidak bermakna kerajaan meminggirkan negeri yang dikuasai pembangkang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, negeri dipimpin oleh pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mendapat jumlah royalti yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Saya bagi angka untuk Perlis, Kelantan dan Terengganu itu jauh lebih tinggi dari tahun-tahun sebelumnya dan kalau kita kumpulkan, lebih tinggi daripada jumlah royalti yang kita ambil.

“Tapi fakta itu kadang-kadang tidak sampai ke bawah, sebab itu politiklah.

“Tapi kalau soal kemiskinan, soal pendidikan, kemudahan asas, kerosakan misalnya di Terengganu (keruntuhan tebing Tasik Kenyir) itu kita segerakan tiada pertimbangan lain. Kalau ada keperluan lebih RM200 juta, kita luluskan dalam tempoh yang segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, barisan menteri, jabatan sektor awam serta agensi swasta.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, perundingan dan perbincangan bersama menteri besar turut melibatkan negeri pembangkang dan ia berlangsung dengan baik.

Katanya, anggota Kabinet kerajaan turut melakukan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri dan turut melakukan pertemuan dengan menteri besar pembangkang.

“Menteri-menteri juga bila ke negeri, kebanyakan juga berbincang dengan menteri besar termasuk dengan menteri besar dari pembangkang.

“Bagi saya ini urusan kerja kita, soal kerjasama dengan kerajaan negeri cukup jelas. Jadi, kalau negeri ambil sikap postif ia memudahkan, kalau ambil sikap bengis ia mempersulitkan,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply