Malaysia tandatangani perjanjian sokongan pembentukan DLT

Dokumen perjanjian sokongan bagi pembentukan DLT berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin ketika menghadiri Persidangan Diplomatik bagi Perjanjian DLT yang dihoskan Arab Saudi.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengorak langkah dalam arena harta intelek global dengan menandatangani perjanjian sokongan bagi pembentukan Perjanjian Undang-Undang Reka Bentuk (DLT) bersama 36 negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Rusia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara ASEAN.

Dokumen perjanjian sokongan bagi pembentukan DLT berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kamal Kormin ketika menghadiri Persidangan Diplomatik bagi Perjanjian DLT yang dihoskan Arab Saudi di Riyadh pada 11 hingga 22 November dengan dihadiri 158 negara.

MyIPO dalam kenyataan hari ini menyebut DLT, yang turut dikenali sebagai DLT Riyadh, adalah instrumen perundangan antarabangsa yang diterima pakai Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).

Ia bertujuan menyelaraskan prosedur permohonan dan memudahkan akses kepada perlindungan reka bentuk serta menyokong perdagangan rentas sempadan.

Perjanjian berkenaan juga melengkapi perjanjian paten dan cap dagangan sedia ada, menjadikannya langkah strategik dalam mempercepatkan inovasi dan pembangunan reka bentuk di seluruh dunia.

“Antara faedah sekiranya Malaysia menyertai DLT ialah memudahkan pereka bentuk tempatan, terutama pereka berskala kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mendaftarkan hasil kerja mereka di dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

MyIPO yakin langkah berkenaan akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam membentuk landskap perlindungan harta intelek yang lebih progresif dan inklusif di peringkat antarabangsa. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply