Hassan Karim sedia digantung, dipecat keahlian PKR kerana kritik kerajaan

Hasan

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tidak akan merayu terhadap keputusan yang akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata, terbuka dan sedia menerima sebarang keputusan yang akan diputuskan termasuk jika digantung atau dipecat keahlian parti.

“Saya dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti Khamis lalu namun belum ada keputusan.

“Mereka hanya memberikan pandangan lembaga disiplin parti dan selepas ini mereka akan rujuk kepada Biro Politik PKR dan seepas itu kepada Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, keputusan akan diputuskan esok, (Ahad) ” katanya pada Sabtu.

Hassan dihadapkan ke lembaga disiplin parti berkenaan selepas didapati mengkritik kerajaan dalam isu pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangakaian 5G kedua.

Selain itu, PKR turut melabel Hassan sebagai merosakkan imej parti tersebut apabila membuat kenyataan terbuka berkenaan.

Sementara itu Hassan berkata, dia menghormati sebarang keputusan lembaga disiplin parti itu dan tidak mahu memberi kenyataan berlebihan yang boleh mempengaruhi ketetapan itu nanti.

Katanya, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan lembaga disiplin parti yang bertindak profesional termasuk menghantar surat memohon kepadanya tunjuk sebab terlebih dahulu serta meminta memberi jawapan dalam masa tujuh hari.

“Saya menjawab surat itu dan dipanggil untuk dibicara, mereka dengar (penjelasan), dari segi itu saya pujilah parti (PKR) ini, dia buat apa yang dia cakap dalam soal ini,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply