Kenaikan tambang bas sekolah tidak boleh dielak – BSM

BSM menyarankan kerajaan mengambil alih kos tambang bas sekolah jika prihatin dengan nasib ibu bapa dan penjaga. Foto hiasan

SHAH ALAM – Kenaikan tambang bas sekolah tidak dapat dielakkan demi kelangsungan industri tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM), Mohd Haron Mohamad Sidik berkata, kenaikan dijangka antara 25 hingga 30 peratus didorong kos alat ganti dan kenaikan gaji minimum serta persaingan disebabkan gangguan dari kenderaan haram sekolah yang semakin berleluasa.

Menurut beliau, sesi persekolahan dijangka kembali sedia kala pada 2026 menyebabkan operasi bas sekolah akan menjadi 11 bulan sahaja susulan cuti penuh pada Disember.

“Kemungkinan tambang bas sekolah juga sukar diambil pada Oktober dan November kerana ramai murid-murid tidak lagi pergi ke sekolah selepas peperiksaan akhir tahun.

“Jika dicongak, pengusaha bas sekolah hanya peroleh pendapatan atau tambang bas setahun cuma sembilan bulan sahaja.

“Sementara insurans, cukai jalan, pemeriksaan berkala di Puspakom, pinjaman bank dan sara hidup tetap 12 bulan setahun,” katanya menerusi kenyataan.

Lebih malang katanya, Kementerian Pengangkutan menarik semula keistimewaan bas sekolah dengan tidak membenarkan menjalankan aktiviti sewaan bas ketika hari cuti sekolah.

“Ini sudah pasti membebankan pendapatan pengusaha bas sekolah. Belum lagi gangguan dari kenderaan haram sekolah yang semakin berleluasa.

“Apakah perniagaan industri bas sekolah ini sebenarnya menguntungkan atau umpama satu kerja kebajikan sahaja? katanya.

Beliau menyarankan kerajaan mengambil alih kos tambang bas sekolah jika prihatin dengan nasib ibu bapa dan penjaga.

Ujarnya, langkah kerajaan menampung tambang sekolah dengan menggunakan modul bas percuma DBKL juga dapat mengatasi isu kegiatan kenderaan haram sekolah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply