NILAI – Kementerian Pengangkutan (MOT) mencadangkan kawasan Nilai termasuk Enstek dijadikan sebagai lokasi Pusat Logistik Negara bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku di Pelabuhan Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah pun berbincang mengenai perkara itu dengan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Memang ada perbincangan saya dengan Menteri Besar semalam (Jumaat) dan saya mencadangkan supaya di kawasan Nilai dan Enstek ini disediakan satu tapak khusus untuk sektor logistik.
“Jadi apa yang kita ingin cadangkan ialah di kawasan ini kalau boleh dapat disediakan satu tapak tanah oleh kerajaan negeri atau agensi bawah kerajaan negeri untuk dibangunkan sebagai satu Pusat Logistik Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pengagihan Pintar Halal Beku Serantau (Smart RHDC) GOLOG di sini pada Sabtu.
Anthony berkata, beliau yakin ia boleh menarik lebih banyak syarikat logistik untuk berpengkalan di situ pada masa akan datang.
Ini kerana katanya, kebanyakan syarikat logistik sekarang berada di kawasan Shah Alam dan sekitar yang berhampiran dengan Pelabuhan Klang.
“Tapi di kawasan sana sudah sesak dan kita (Nilai dan Enstek) ada kelebihan kerana berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya berpendapat kalau kita boleh bangunkan kawasan ini sebagai satu pusat logistik, saya yakin ia dapat menarik banyak syarikat logistik untuk melihat kawasan ini,” katanya.
Anthony berkata, kawasan itu juga berada dalam jaringan sistem lebuh raya yang strategik iaitu di tengah utara dan selatan.
Ujarnya, sistem jaringan kereta api di Negeri Sembilan juga semestinya boleh menyokong sektor tersebut sekiranya ia dapat dilaksanakan kelak.
“Jadi ada banyak kelebihan di kawasan ini dan saya yakin kalau kerajaan negeri dapat sediakan tanah untuk konsep pusat logistik negara, sudah tentu akan dapat menarik banyak pelaburan dalam bidang ini,” katanya.
Dalam pada itu ditanya tempoh dua tahun Kerajaan Madani, Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau berpendapat tahap kestabilan politik negara kembali stabil di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, dengan kestabilan politik yang ada ia juga telah dapat menarik lebih banyak pelaburan baharu kepada negara.
“Kalau kerajaan tak stabil, dasar akan berubah-ubah dan tiada siapa berani melabur.
“Kita berterima kasih kerana kerajaan hari ini bertambah kukuh dan sudah tentu ia bagi ruang kepada kita untuk fokuskan usaha kita demi pembangunan negara,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.