JOHOR BAHRU – Program pemulihan akidah bagi ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), akan dilaksanakan secara berterusan dan sistematik.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan, perkara tersebut juga telah dimaklumkan dalam Parlimen dan berapa soalan pun sudah dijawab oleh menteri.
“Semua pihak termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) serta jabatan agama berperanan berhubung soal pemulihan akidah (ahli GISBH), ini.
“Untuk ahli GISBH yang ‘tegar’ kita juga sudah sediakan pelan pemulihan dan ia juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, tambah Zulkifli, pihaknya tidak memberikan data sebenar berhubung ahli-ahli GISBH yang berjaya dipulihkan kerana ia perlu dirujuk kepada pihak berautoriti yang terbabit,” katanya kepada pemberita.
Zulkifli berkata demikian setelah menyempurnakan perasmian program Dialog Perpaduan Malaysia Madani 2024 di Menara Tabung Haji, di sini yang dihadiri seramai 200 peserta daripada pelbagai agama dan bangsa.
Untuk rekod, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), pada 14 November lalu telah memutuskan bahawa ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.
Mengulas mengenai program dialog berkenaan, Zulkifli berkata, ia merupakan usaha yang baik dalam mengeratkan dan meningkatkan kefahaman serta saling mengenali antara pelbagai agama bagi mengukuhkan perpaduan di Malaysia.
“Dalam program ini, kita akan mendengar perspektif dalam pelbagai agama untuk melihat Malaysia yang lebih bersatu padu.
“Seiring dengan hasrat Malaysia Madani, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.