KNRPA 2024 fokus isu, mega trend dalam perkhidmatan awam

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan pada perasmian Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 bakal menumpukan isu dan ‘mega trend’ merangkumi teras nilai, tata kelola, modal insan, organisasi, perkhidmatan awam, kerenah birokrasi serta sinergi awam atau swasta.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, agenda reformasi perkhidmatan awam sememangnya usaha berterusan kerajaan bagi membina asas kukuh demi masa depan negara.

Menurut beliau, ia merupakan ikrar di semua peringkat Persekutuan dan negeri untuk bersatu hati mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat.

“Lebih unik lagi, kita bakal menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, iaitu komitmen penjawat awam seluruh negara dalam menyokong penuh agenda reformasi perkhidmatan awam dan dimeterai di semua pentadbiran kerajaan negeri.

“Tahun hadapan, kita akan lihat pelaksanaan reformasi lebih menyeluruh dengan pengenalan Iltizam Perkhidmatan Awam sebagai satu akta di peringkat Persekutuan.

“Akta ini bagi memperkukuh struktur atau tata kelola yang telus, memastikan keputusan diambil berasaskan kepentingan rakyat, langkah proaktif kurangkan kerenah birokrasi dan noktahkan salah laku rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan di program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.

Program 2TM bertemakan ‘Madani di Hati, Rakyat Disantuni’ tersebut bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat.

Selain itu, program terbabit menyediakan pelbagai aktiviti dan tawaran menarik antaranya kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), reruai usahawan serta Jualan Rahmah Madani.

Shamsul Azri memaklumkan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan dibangunkan bagi merealisasikan agenda berkenaan.

Tambah beliau, antara inisiatif utama yang sedang diusahakan STAR adalah Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan bagi menyokong perubahan sistematik dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Pasukan ini akan terus memacu usaha sedia ada antaranya inisiatif menambah baik sekolah daif dan kemudahan kesihatan, reruai Madani serta urusan di kaunter perkhidmatan awam,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply