SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) mungkin agak gelojoh mengumumkan calon Perdana Menteri (PM) gabungan parti memandangkan tiada sebarang perbincangan di mana-mana peringkat untuk pilihanraya umum akan datang.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, sedangkan semuanya memerlukan penelitian dan perbincangan.
Menurutnya, PN perlu tahu formula memilih pemimpin untuk rakyat dan tidak boleh dilakukan dan mengumumkan secara semborono tanpa penelitian apatah lagi PMX yang sedia ada tidak boleh pakai.
“Mursyidul Am Pas menyatakan apa yang beliau rasa dan itu adalah pandangan beliau. Kenapa perlu suruh diam?
“Kalau suruh diam, maka jangan ada mana-mana pimpinan PN terutamanya Gerakan sebut berkenaan siapa calon PM yang telah dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada PRU akan datang.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga dipetik berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.
Tambah Khairul Nadzir, tidak dinafikan jasa dan kehebatan Muhyiddin serta seluruh kabinetnya mentadbir negara.
“Mereka berhadapan dengan konflik politik, ekonomi dan kesihatan namun perubahan serta edaran zaman yang penuh cabaran ini mungkin memerlukan formula berbeza.
“Inilah cara dan jati diri PN. Bukan mengharapkan individu yang ternyata gagal seperti PMX terus diharap menerajui negara.
“Boleh jadi, ada dalam kalangan pemimpin muda, wanita dan teknokrat dalam PN adalah formulanya,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.