BIARPUN hanya menurunkan 12 pemain sahaja, namun Kedah Darul Aman (KDA) tetap berjaya melakukan kejutan menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-2 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, perubahan pemain terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir sebelum sepak mula di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat apabila terdapat pemain membuat keputusan memboikot perlawanan tersebut.
Menurutnya, biarpun menjadi satu kesalahan namun beliau menerima secara terbuka dan memahami alasan pemain-pemain berkenaan yang kecewa selepas masalah gaji yang sedang dihadapi sekarang ini belum selesai.
“Jumlah yang hanya mahu bermain adalah seramai 12 orang sahaja sebelum perlawanan bermula selepas saya berbincang dengan mereka.
“Kita bernasib baik ada 11 pemain atas padang, jika kita ada lapan atau sembilan pemain memang kita akan beraksi dengan jumlah tersebut.
“Perancangan kita untuk perlawanan ini menjadi sebaliknya tetapi perancangan ALLAH adalah sebaik-baiknya, jadi saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman selepas perlawanan tamat.
Jelas Nafuzi, kesungguhan pemain yang diturunkan memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut membuatkan beliau terharu walaupun masih dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji.
Menurutnya, apa yang sedang dihadapi kini dalam melatih pasukan yang berdepan masalah adalah satu cabaran dan pengalaman baru buat dirinya sebagai seorang jurulatih.
“Saya tidak menjangka situasi ini terjadi pada saat-saat akhir dan berbincang dengan mereka saya perlu pemain yang buat keputusan untuk bermain pada malam ini.
“Kita hanya ada 12 pemain termasuk seorang pemain simpanan sahaja. Saya hanya berserah dan tawakal, kalau mereka bermain dengan sepenuh hati dan kita lihat keputusannya selain mereka bermain sebagai satu pasukan dengan kerjasama tinggi,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya masa depannya bersama KDA FC selepas dikaitkan akan menyertai pasukan kejurulatihan di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Nafusi menjelaskan beliau kini hanya fokus meraikan kejayaan bersama Sang Kenari.
“Saya kini hanya nak meraikan kemenangan dengan pemain-pemain saya dan terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh mereka,” katanya lagi.
Pada perlawanan tersebut KDA FC memperolehi gol menerusi ketua pasukannya, Sony Norde yang meledakkan dua gol dan Sukhrov Nurulloev satu gol.
KL City pula memperolehi gol hasil jaringan Ryan Lambert dan Jovan Motika.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula bagi aksi timbal balik kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 1 Disember ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.