PROGRAM Road To Gold (RTG) yang dirangka untuk dua kitaran Olimpik telah membelanjakan RM17.283 juta sepanjang tempoh dua tahun dalam usaha meraih pingat emas sulung negara.
Biarpun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan apabila sekadar meraih dua gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris Ogos lalu, namun terdapat peningkatan ketara oleh para atlet RTG yang meletakkan mereka pada landasan yang betul untuk Sukan Olimpik seterusnya di Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, akaun RTG bagi tahun 2023 telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebagai sebahagian daripada penyata kewangan Majlis Sukan Negara (MSN) tahun 2023 dan diisytiharkan bahawa laporan kewangannya adalah teratur.
“Jumlah perbelanjaan RTG untuk 2023 adalah RM4.083 juta seperti yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
“Seperti yang dinyatakan dalam Parlimen pada 7 November lalu, jumlah perbelanjaan RTG untuk tahun 2024 berjumlah RM13.2 juta.
“Perbelanjaan ini akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara selepas tamat tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Hannah bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Rabu telah mempengerusi sidang terakhir jawatankuasa RTG bagi sesi 2024.
Mesyuarat tersebut antara lain bertujuan menutup akaun bagi kitaran RTG dan berterima kasih kepada ahli jawatankuasa atas sumbangan mereka sejak penubuhan program RTG pada April 2023.
Beliau turut menghargai komitmen jawatankuasa RTG untuk memastikan program tersebut mendapat sokongan terbaik kepada atlet yang berada di bawah jagaan mereka.
“Untuk masa hadapan, bagi menyesuaikan kitaran Olimpik yang baharu, jawatankuasa RTG yang baharu akan diumumkan tahun depan dan program sokongan RTG dan Fast Track untuk atlet akan diteruskan seperti biasa,” katanya.
Hannah menjelaskan bahawa peningkatan yang dipamerkan atlet RTG termasuk Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah apabila menjadi pasangan wanita pertama Malaysia berjaya mara ke peringkat separuh akhir temasya Olimpik.
“Perjuangan mereka yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mara dari ‘kumpulan maut’ yang terdiri daripada juara dan pemenang pingat emas, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan pemenang pingat emas Tokyo 2020, Apriyani Rahayu yang berganding dengan Siti Fadia Ramadhanti,” katanya.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula menunjukkan kekuatan mental yang luar biasa untuk meraih pingat gangsa kedua mereka di Olimpik.
Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Aaron-Wooi Yik ketinggalan 16-20 dalam set kedua setelah kalah pada set pertama, tetapi mereka bangkit daripada ambang kekalahan untuk memenangi set kedua dengan 22-20.
Kekuatan mental itu memberikan mereka keyakinan untuk memenangi set penentuan 21-19 untuk meraih gangsa.
Badang negara, Aniq Kasdan pula membuat penampilan sulung di Olimpik dan menamatkan pertandingan di tempat keempat.
Lebih mengagumkan, hanya perbezaan 1 kilogram (kg) memisahkan beliau untuk meraih pingat gangsa.
Selain itu, beliau juga mencatatkan rekod kebangsaan baharu iaitu 297kg dengan angkatan berat sebanyak 130kg dalam acara snatch dan 167kg dalam kategori clean and jerk.
Dalam pada itu, biarpun jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang hilang kelayakan dalam acara keirin, namun beliau mencatatkan rekod kebangsaan baharu 9.402 saat (s) dalam acara pecut daripada rekod sebelumnya 9.523s.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.