Kedudukan Muhyiddin kekal, tiada isu perlu dibangkitkan – Saifuddin

Saifuddin

KUANTAN – Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kekal dan tidak sepatutnya perkara itu dibangkitkan, tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau menjelaskan, isu penggantian kepimpinan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam parti dan menganggap spekulasi yang timbul hanyalah pandangan peribadi segelintir pihak.

“Kita telah pilih beliau (Muhyiddin) tanpa sebarang pertandingan, jadi tidak pernah difikirkan dan tiada sesiapa yang bercakap tentang ada orang lain untuk mengetuai PN dan Bersatu pada PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16).

“Saya tahu daripada cerita surat khabar sebelum ini, tapi sepanjang yang saya tahu, cerita itu tidak sepatutnya timbul. Tapi saya rasa itu pandangan beliau secara peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tentang kad laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pusat Khidmatnya di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menegaskan Perikatan Nasional (PN) tetap akan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mereka pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menafikan nama Muhyiddin dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri PN untuk PRU16.

Berdasarkan laporan media, Hashim dilaporkan berkata, belum ada sebarang keputusan dalam gabungan PN bagi menentukan perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan bahawa perbincangan lebih tertumpu kepada perancangan masa depan parti dalam pertemuan retreat Bersatu yang diadakan di Gopeng, Perak pada Februari lalu.

Saifuddin turut mencadangkan supaya pelan peralihan dibuat secara harmoni tanpa memecahbelahkan parti.

Beliau juga menekankan pentingnya tokoh utama seperti Ahmad Faizal, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam pasukan kepimpinan bagi memastikan kestabilan dan kekuatan parti.

“Hasil cadangan tersebut, Muhyiddin mengumumkan barisan kepimpinan baharu yang menyaksikan Ahmad Faizal dilantik sebagai Naib Presiden, manakala Hamzah (Timbalan Presiden), dan Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung.

“Ini adalah pasukan yang baik, jadi kita harus berada di belakang Presiden dengan pasukan ini bersama MPT yang baru dilantik dan ketua serta Exco sayap yang baharu.

“Jadi, sebab itu saya mencadangkan supaya tumpuan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini ialah bersedia bagi menghadapi PRU dan penghayatan idealisme perjuangan Bersatu,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply