Petronas MAM Malaysian Cub Prix: Bangkit daripada trauma, Amir Asyraf buru lima terbaik

Tahun 2022 merupakan tahun terburuk buat Muhammad Amir Asyraf Azman!

Tragedi kemalangan ngeri menimpa pelumba muda Pasukan Maju Mega Bike itu yang hampir meragut nyawanya apabila terlanggar tayar lori treler ketika menunggang motosikal di lebuh raya sememangnya merupakan igauan ngeri yang tidak dapat dilupakan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 19 tahun itu berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil apabila kembali bangkit dengan melengkapkan tahun lalu dengan menempatkan diri di kedudukan ketiga keseluruhan biarpun baru setahun kembali berkecimpung secara serius dalam sukan permotoran.

Wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, menyingkap kisah di sebalik pahit getir pelumba tersebut yang kini menghuni kedudukan ketujuh keseluruhan Petronas MAM Malaysian Cub Prix: Pro Am Cup mengejar penamat lima terbaik musim ini menjelang pusingan akhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu ini. 

“Tahun 2022 saya sempat beraksi daripada pusingan keempat hingga keenam. Selepas itu saya mengalami kemalangan motosikal di luar (perlumbaan). Saya terlanggar tayar ketika pulang bersiar-siar daripada menunggang. 

“Saya ambil masa setahun untuk cari semula pengalaman berlumba dalam Honda Dash 125 Challenge dan meraih kedudukan kedua keseluruhan. 

“Saya melalui banyak cabaran, kalah, jatuh dan menang.

“Alhamdulillah tahun ini dapat bermula lagi bersama Pasukan Maju Mega Bike. Banyak perkara baru saya belajar pada tahun ini — pengalaman membawa motosikal. 

“Saya menduduki tangga ketujuh dan mahu mengejar kelompok lima terbaik.

“Saya menjuarai pusingan terakhir yang lalu. Saya mahu kekalkan momentum berjuang, cara menunggang.

“Dalam menekankan mentaliti juara, saya tidak boleh terlalu mendesak motosikal dan diri sendiri,” katanya di Nadi Arena sebentar tadi.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply