Saingan hari ketiga Jelajah Golf Toyota 2024 menyaksikan dominasi dua wakil Thailand, Tanapat Pichaikool dan Sarut Vongchaisit yang berjaya mencatat jumlah keseluruhan 201 pukulan 15 dibawah par terus mewarnai kehangatan saingan di Kota Permai Golf And Country Club, hari ini.
Dalam pada itu, Edvin Ying dan Daeng Abdul Rahman yang kini menghuni tangga ke-10 dengan masing-masing mencatatkan 209 pukulan 7 dibawah par sekaligus berpeluang memperbaiki cabaran pada hari terakhir saingan, Sabtu ini.
Begitupun, jika semalam Tanapat Pichaikool cemerlang menghuni ranking pertama dalam pusingan kedua, hari ini juga dia akan mempamerkan aksi menyerlah dengan mencipta 7 birdie, 4 bogey, serta paling penting, dia meraih Eagle di lubang ke-12 untuk menamatkan saingan pusingan ketiga ini dengan catatan 67 pukulan 5 di bawah par.
“Sangat baik secara keseluruhannya cuma saya bermula dengan perlahan. Kelancaran kualiti rumput dalam keadaan baik dengan putaran bola berpusing dengan sangat baik. Luar biasa bagaimana mereka mengekalkan keadaan rumput.” kata juara Indonesia Pro-Am 2024.
Rakan senegaranya, Sarut Vongchaisit, turut gembira apabila berkongsi kedudukan teratas dalam kejohanan ini selepas cabaran hari ketiga.
Catatan 8 birdie dan 2 bogey juga menyaksikan Sarut mencatat 66 pukulan 6 dibawah par.
“Saya sangat menikmati permainan saya hari ini terutamanya beraksi dengan Tanapat. Kami membesar dengan bermain golf bersama jadi ia sangat menggembirakan hari ini.” tambahnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.