Pocket Rocketman bakal berkayuh di ACC 2025?

Azizulhasni mungkin mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mungkin bakal ‘berkayuh’ secara rasmi di Velodrom Nasional, Nilai seawal Februari tahun hadapan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, juara keirin Asia berusia 36 tahun dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman itu masih bersemangat dalam mempamerkan kayuhan bertenaganya.

“Saya boleh katakan ya, beliau akan mengambil bahagian dalam beberapa acara pada tahun hadapan. Selepas apa yang terjadi pada Sukan Olimpik Paris 2024, beliau sudah tentu mahu bangkit.

“John Beasley (jurulatih) telah beritahu saya ada kemungkinan besar Datuk Azizulhasni akan terlibat dalam sebahagian acara pada 2025. Beliau masih dalam ‘mood’ pertarungan dan mahu beraksi lagi, saya harap dia akan sertai (ACC),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

ACC 2023 menjadi pentas terakhir Mohd Azizulhasni di kejohanan itu apabila tidak turut serta pada edisi 2024 di India bagi mengelakkan risiko dijangkiti Covid-19 sebelum ke Sukan Olimpik Paris.

Beliau mencipta sensasi apabila meraih emas keduanya di ACC 2023 dalam acara keirin, sekali gus menjadikan koleksi kilauan emas di peringkat Asia kepada 12 secara keseluruhan sejak 2007.

Sebelum ini, status sama ada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan meneruskan karier sebagai atlet masih menjadi tanda tanya apabila beliau kekal dengan pendirian mengunci mulut berhubung perkara berkenaan. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply