‘Rakyat Selangor berhak dapat yang lebih baik’

Zurk berkata, kerajaan negeri tidak boleh lagi hanya bergantung kepada infrastruktur negeri sedia ada dan peruntukan yang sangat kecil untuk mengatasi masalah banjir. Gambar hiasan. Gambar kecil: Zurk Ahmad

SHAH ALAM – Belanjawan Selangor 2025 didakwa masih mengekalkan belanja defisit dengan perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah daripada belanja mengurus bahkan merosot berbanding tahun lepas.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, pengagihan itu sudah tidak sesuai bagi sebuah negeri maju dalam merancang keseimbangan pembangunan ekonomi dan menyelesaikan masalah infrastruktur di Selangor.

Tegasnya, walaupun Selangor mencatatkan kutipan hasil dan simpanan tinggi, namun kebergantungan tinggi mencecah 80 peratus kepada hasil premium tanah sahaja tidak stabil untuk memenuhi keperluan negeri di masa depan.

Ujarnya, isu banjir juga terus diperdebatkan di dalam dewan dengan penyelesaian yang masih kabur dan tiada penghujung.

“Jumlah taburan hujan dan iklim tidak menentu hari ini memerlukan tindakan segera bukan sahaja daripada (kerajaan) negeri tetapi rundingan mesti dibuat dengan kerajaan Pusat bagi menyegerakan pendekatan kolektif melibatkan semua agensi yang terlibat.

“Kerajaan negeri tidak boleh lagi hanya bergantung kepada infrastruktur negeri sedia ada dan peruntukan yang sangat kecil untuk mengatasi masalah banjir.

“Selangor sebagai negeri maju sepatutnya lebih ke hadapan dalam usaha menoktahkan isu banjir ini dan menjadi contoh kepada negeri lain,” ujarnya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat

Dalam pada itu beliau menambah, Selangor masih berhadapan isu miskin bandar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Peruntukan lebih relevan sepatutnya ditambah untuk mengurangkan beban rakyat miskin seperti bantuan kesihatan, pendidikan dan bantuan keusahawanan kepada penjaja kecil yang memerlukan lesen dan kebenaran kawasan strategik daripada kerajaan,” ujarnya.

Ujarnya lagi, usaha mempelbagaikan hasil negeri mesti diberi tumpuan kerajaan negeri agar agihan peruntukan pembangunan adil tertuju kepada tempat yang tepat dan dirasai setiap segmen masyarakat.

“Jumlah simpanan negeri yang dibanggakan tidak ada gunanya jika masalah pembangunan infrastruktur dan ekonomi sosial masih terus menjadi hujah perdebatan dan tidak mampu diselesaikan.

“Sebagai sebuah negeri yang dikatakan maju dalam negara ini, rakyat Selangor berhak dapat lebih baik,” tambahnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply