Banding gred D oleh Bersih dengan UPSR kenyataan tidak matang – Pas

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi serta pencapaian anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang akan memasuki tahun kedua pentadbiran. (Gambar kecil: Mohd Amar)

KOTA BHARU – Pas membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membandingkan gred D oleh gabungan reformasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemimpin berkenaan tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.

“Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membandingkan gred D oleh Bersih dengan peperiksaan UPSR adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

“Sebagai pemimpin tertinggi, beliau sepatutnya menerima kritikan dengan serius dan menunjukkan komitmen memperbaiki kelemahan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, gred D yang diberikan oleh Bersih jelas mencerminkan kegagalan memenuhi janji reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.

“Sikap memperlekehkan kritikan hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

“Apa yang diperlukan bukan retorik atau gurauan, tetapi tindakan nyata yang membawa perubahan,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi serta pencapaian anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang akan memasuki tahun kedua pentadbiran.

Bagaimanapun, beliau optimis kerajaan yang diterajuinya kelak akan memperoleh gred pencapaian lebih baik.

Dalam perkembangan berasingan, Amar turut mempersoalkan pendekatan Anwar berkait laporan 70 hingga 80 peratus kos lawatan rasmi Perdana Menteri itu ke lima negara ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menyertai rombongan tersebut bagi memastikan perbelanjaan lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan cekap.

Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, tindakan menerima tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi membuka ruang kepada konflik kepentingan dan menjejaskan integriti pentadbiran.

Tambah beliau, tindakan itu juga mencetuskan persepsi bahawa keputusan kerajaan boleh dipengaruhi oleh kepentingan pihak penaja sekali gus menghakis keyakinan rakyat.

“Lebih membimbangkan, amalan ini memberi contoh buruk kepada penjawat awam, berpotensi mewujudkan budaya kronisme, rasuah dalam pentadbiran dan merosakkan kepercayaan kepada institusi kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau harus menolak tajaan sebegini dan memastikan semua perbelanjaan rasmi dibiayai secara telus melalui saluran rasmi.

“Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang bebas, bersih dan telus tanpa sebarang pengaruh luar,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply