Pratempahan untuk kamera baharu Sony Alpha 1 II kini dibuka di Malaysia selepas pelancaran rasminya beberapa hari lalu. Anda yang ingin mendapatkan kamera ini boleh membelinya bermula hari ini pada harga RM 29,299 sebuah. Sebarang pratempah berkenaan turut diberikan hadiah eksklusif termasuk Sony CEA-G80T CF Express Card, bateri Sony NP-FZ100, PGYTECH OnePro Flex 50l Backpack dan langganan Capture One All-In-One selama tiga bulan untuk pembelian sehingga 15 Disember 2024.
Sony Alpha 1 II merupakan pengganti kepada A1 Mark 1 yang pernah diumumkan pada tahun 2021. Ia masih mengekalkan rekaan yang sama namun diberi penambahbaikan dari segi spesifikasi dalaman untuk menjadikan ia lebih menarik dalam kalangan penghasil kandungan khususnya.
Sony Alpha 1 II menggunakan sensor Exmor RS 50.1MP Stacked CMOS dan pemproses imej BIONZ XR yang mampu mengambil gambar pada kadar 30FPS. Ini adalah sama seperti Mark I tetapi menurut Sony sistem pemfokusan kini lebih pantas. Ia dikatakan mampu menjejak mata pada burung 50% lebih pantas, 30% pada haiwan dan 30% pada manusia dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Sony melengkapkan lagi kamera dengan format rakaman video pada resolusi 8K 30p, 4K 120p dan 10-bit 4:2:2. Selain itu mempunyai mod pra-tangkapan yang membolehkan gambar subjek diambil beberapa saat sebelum butang pengatup ditekan. Beberapa butang tambahan turut diberikan dalam sebuah tubuh kamera yang lebih ergonomik. Panel LCD sesentuh juga kini boleh diputarkan pelbagai arah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.