Harimau Selatan diingatkan tidak terlalu selesa

Fernandes (kanan) meledak hatrik ketika membantu JDT mengatasi KL Rovers, pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.

BEKALAN tiga gol diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menjinakkan kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dalam aksi timbal balik pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim meletakkan penyandang juara selangkah menghampiri pentas suku akhir.

Malah pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio gembira dengan komitmen pemain-pemain biarpun menurunkan skuad kedua untuk perlawanan tersebut.

Biarpun begitu Bidoglio mengingatkan pemain-pemain Harimau Selatan untuk tidak terlalu selesa kerana Rovers kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail mampu menghadirkan kejutan.

“Sejujurnya bekalan yang cukup selesa dan saya amat berpuas hati dengan keputusan diraih pasukan ini.

“Pemain-pemain telah memberikan segala yang terbaik biarpun tidak beraksi seperti yang diharapkan dalam perlawanan ini.

“Tambahan pula pemain-pemain pasukan lawan lebih banyak berkampung dalam kawasan sendiri, sekali gus merencatkan perancangan pasukan,” katanya.

JDT menyingkap kempen Piala Malaysia dengan melaungkan amaran awal Harimau Selatan tekad mengekalkan sekali lagi kejuaraan berprestij itu di selatan tanah air apabila Heberty Fernandes tampil meledak hatrik dengan gol minit ke-26, m-30 dan m-71 sebagai bekalan timbal balik kedua di venue sama pada 30 November ini.

Dalam pada itu, Bidoglio juga gembira apabila pemain-pemain Bawah 23 tahun iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Alif Abdul Mutalib dan Daryl Sham berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Tambahnya, keputusan menurunkan pemain-pemain yang jarang diberikan peluang beraksi juga merupakan satu tindakan yang tepat dalam membentuk keyakinan mereka.

“Saya meletakkan kepercayaan tinggi kepada setiap pemain kerana mereka semua bagus cuma terdapat masanya sukar mendapat tempat.

“Begitu juga dengan pemain-pemain bawah 23 tahun, biarpun skuad pertama lebih laju namun berjaya mengikut rentak pemain senior,” katanya.

PIALA MALAYSIA 2024/25

PUSINGAN 16

PERLAWANAN PERTAMA

JUMAAT (22 NOVEMBER)

Kedah Darul Aman lwn Kuala Lumpur City

(Stdm Darul Aman, Alor Setar, 9 malam)

Kelantan Darul Naim lwn Perak

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

SABTU (23 NOVEMBER)

PT Athletic lwn Sabah FC

(Stdm Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 5 petang)

Sri Pahang FC lwn Selangor FC

(Std Majlis Perbandaran Temerloh, 8.30malam)

Melaka FC lwn Terengganu FC

(Stdm Hang Jebat, 9 malam)

AHAD (24 NOVEMBER)

Negeri Sembilan FC lwn PDRM FC

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 malam)

*Tarikh, masa venue tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply