Dendam punca lelaki ditetak mati

Lokasi mayat mangsa ditemui di kawasan semak belakang Kampung Balibata, Beaufort. (Gambar kecil: Leong Meng)

BEAUFORT – Dendam dipercayai punca seorang lelaki maut akibat ditetak dalam kejadian di kawasan semak belakang Kampung Balibata, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Khamis, mangsa lelaki warga Filipina berusia 30-an ditemukan berlumuran darah dengan kesan tetakan pada siku dan belakang leher.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dalam keadaan terlentang di atas tanah di kawasan semak.

“Mayat ditemui orang awam dalam keadaan lengkap berpakaian dan berlumuran darah.

“Turut ditemui dua kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan di bahagian belakang leher mangsa yang mana kesan luka ini dipercayai disebabkan tetakan menggunakan senjata tajam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, susulan kejadian itu, Op Tutup dan Op Kesan yang dilancarkan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bersama Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

“Suspek lelaki berusia 70-an berjaya ditahan berhampiran sekitar Kampung Balibata dan turut dirampas senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian ini.

“Kejadian ini dipercayai bermotifkan dendam dan berlaku kurang dari 24 jam,” katanya.

Leong Meng berkata, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply