Ibu bapa rayu buka semula siasatan kes bunuh anak di maahad tahfiz

Abdul Rahman (tengah) dan Ruhani (kiri) bersama peguam mereka, Alias Ibrahim selepas keputusan Mahkamah Koroner pada 2016.

KOTA BHARU – Ibu bapa kepada pelajar Tingkatan Empat yang dibunuh dan mayatnya ditemukan di tandas sebuah sekolah maahad tahfiz di sini 11 tahun lalu mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara agar siasatan kes dibuka semula.

Rayuan atau representasi oleh Wan Abdul Rahman Wan Yaacub, 73, dan Ruhani Hussin, 69, terhadap kes membabitkan Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman itu dibuat melalui surat bertarikh 4 November lalu.

Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menghantar surat rayuan untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertarikh 6 November lalu atas tujuan sama.

“Kami sudah membuat laporan polis yang berkaitan di Balai Polis Kok Lanas.

Kompleks Mahkamah Kota Bharu. – Gambar hiasan

“Kami dengan penuh hormat dan rendah diri memohon satu pasukan khas ditubuhkan supaya siasatan boleh dilakukan dengan lebih tersusun, telus, bebas dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Mereka dalam pada itu turut menyatakan kekecewaan terhadap siasatan terdahulu oleh pihak berkuasa kerana gagal mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab, gagal mencari motif dan punca sebenar pembunuhan.

“Setelah lebih 10 tahun menunggu perkembangan siasatan, pada 19 Ogos lalu kami menerima makluman melalui surat Polis Diraja Malaysia bertarikh 31 Julai 2024 bahawa siasatan kes anak kami berstatus Tiada Tindakan Lanjut (NFA) sejak 7 September 2020.

Mayat ditemukan dalam tandas asrama sekolab maahad di Kota Bharu pada 2014.

“Surat itu menyatakan alasan rakaman semua saksi gagal mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab dan keterangan hanya berbentuk andaian semata-mata,” katanya.

Ujar Wan Abdul Rahman, kesedihan atas tragedi hitam yang berlaku kepada anak lelaki tunggal mereka tersebut tidak mampu dilupakan dan tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata.

“Kami tidak berpuas hati atas siasatan yang dilakukan.

“Kami percaya sekiranya siasatan dibuat secara menyeluruh dengan penuh tanggungjawab, telus dan bebas, kes ini boleh dirungkai serta diselesaikan,” kata Wan Abdul Rahman.

Pada 14 Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris ditemukan tergantung dalam keadaan separuh bogel.

Mayat ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama tersebut.

Hasil bedah siasat ke atas mayat itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply