PUTRAJAYA – Seorang daripada tiga yang maut dalam kemalangan berhampiran IOI Putrajaya, di sini, tengah malam tadi, merupakan seorang hafiz dan selalu dilantik menjadi imam di surau di sekitar tempat tinggalnya.
Reda dengan pemergian Muhammad Danial Mohd Nuzi, bapanya Mohd Nuzi Tamli, 57, berkata, anak kelapan dari 10 beradik itu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan selalu menjadi imam di surau berdekatan kediaman mereka di Bestari Jaya, Selangor.
Katanya beliau hanya menerima khabar mengenai kejadian menimpa anaknya itu kira-kira 12 tengah hari tadi menerusi panggilan telefon daripada anak perempuannya yang menuntut di Universiti Selangor.
“Masa itu saya berada di pejabat sedang bekerja, ketika diberitahu Danial meninggal dunia akibat kemalangan tengah malam tadi pandangan saya gelap dan hampir tumbang,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Nuzi beliau menghantar anaknya itu belajar di sekolah agama di Indonesia selama tiga tahun sejak dia berusia 16 tahun.
“Dia seorang anak yang baik malah tadi polis beritahu saya buku tafsir al-Quran berada dalam beg Danial yang dibawa masa kemalangan tadi,” katanya.
Beliau berkata, anaknya yang bekerja di sebuah kilang di Kota Puteri, Rawang sudah dua bulan duduk menyewa di sekitar Ijok dan beliau tidak mengetahui anaknya keluar bersama rakan-rakan malam tadi.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya, sekarang sedang menunggu proses bedah siasat selesai,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Norhizam Bahaman dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku apabila kereta dinaiki mangsa bersama tiga yang lain dalam perjalanan ke arah Putrajaya dari Kajang, telah terbabas melanggar penghadang jalan di antara susur masuk ke pusat beli-belah berkenaan dan laluan menghala ke Putrajaya.
Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.