18 pegawai JIM KLIA dibuang kerja

Ibrahim (tengah) ketika sesi libat urus bersama media di KLIA Terminal 1, Sepang pada Khamis.

SEPANG – Seramai 18 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terlibat dalam isu integriti dikenakan tindakan buang kerja sejak 2021.

Pengarah Imigresen KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, tindakan ini diambil terhadap pegawai pelbagai pangkat dan kesalahan seperti jenayah, rasuah dan dadah.

Menurutnya, sepanjang tempoh empat tahun ini, JIM KLIA juga telah membuka 85 kertas siasatan integriti.

“Jabatan tidak berkompromi dan kita sentiasa berusaha bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan KLIA sentiasa bersih.

“Selain itu, JIM KLIA juga melaksanakan lima inisiatif bagi mengatasi isu integriti iaitu taklimat sebelum bertugas, sistem pengawasan dan pemantauan, larangan bawa telefon bimbit dan jam pintar, isytihar wang serta kerjasama strategik dengan SPRM,” katanya dalam sesi libat urus bersama media di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.

Pegawai Imigresen KLIA memantau pengisian borang dalam talian MDAC oleh warga asing yang tiba di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JIM KLIA mengesan pautan web palsu Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).

Katanya, MDAC ialah borang dalam talian yang perlu diisi oleh semua warga asing sebelum ketibaan mereka di Malaysia.

“Namun, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama MDAC untuk mengaut keuntungan dengan membangunkan laman web palsu.

“Kita terima aduan ini daripada warga asing yang terpedaya dengan web palsu ini dan dipercayai mengenakan bayaran sekitar AS$100, walhal pautan yang perlu diisi ini tidak memerlukan bayaran,” katanya.

Tegasnya, pautan rasmi MDAC ialah https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main.

“Kita telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat empat pautan palsu yang dikesan,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply