PUTRAJAYA – “Saya benar-benar terkejut, ‘gelap’ seketika dan hampir tumbang apabila dimaklumkan Muhammad Danial sudah tiada akibat kemalangan jalan raya.”
Demikian jelas bapa mangsa, Mohd Nuzi Tamli, 57, apabila mengetahui anak kelapan daripada 10 adik-beradik itu meninggal dunia dalam satu kemalangan maut berhampiran IOI Putrajaya, di sini pada Khamis.
Katanya, perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh anak perempuannya yang belajar di Universiti Selangor (Unisel) sekitar jam 12 tengah hari tadi.
“Saya tahu Muhammad Danial meninggal dunia semasa berada di pejabat. Ketika mendengar perkhabaran itu, saya gelap seketika dan hampir tumbang.
“Nasib kawan-kawan yang berada di sekeliling sempat menahan saya daripada terjatuh.
“Arwah merupakan anak yang baik dan soleh, pernah belajar agama di Indonesia ketika berusia 16 tahun serta seorang hufaz untuk 30 juzuk al-Quran,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pada Khamis.
Mohd Nuzi berkata, anaknya itu baru sahaja menyewa rumah bujang di Ijok, Selangor apabila bekerja di kilang biskut di Kota Puteri, Rawang.
Katanya, kali terakhir dia bersama Allahyarham pada minggu lalu apabila menghantar anaknya itu pergi bekerja pada setiap hari.
“Malam kelmarin (Selasa), Muhammad Danial ada menghubungi saya. Tiada sebarang tanda atau perangai pelik ditunjukkan olehnya.
“Saya reda atas pemergiannya. Sudah sampai masa dan kami perlu reda atas ketentuan ini.
“Ada pegawai polis memaklumkan kepada saya, ada tafsir al-Quran dalam baju anak kelapan saya itu. Semoga Muhammad Danial bersama orang-orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Sementara itu, abang mangsa, Shifaq berkata, arwah yang berusia 24 tahun merupakan sumber rujukan agama buat seluruh ahli keluarga.
Anak keempat itu berkata, pemergian Muhammad Danial satu kehilangan besar dan memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga.
Jelasnya, seluruh ahli keluarga meratapi pemergian Allahyarham yang terkenal dalam ahli keluarga sebagai orang kuat agama.
Menurutnya, adik kelapan itu pernah mengaji pondok di Indonesia selama tiga tahun sekitar tahun 2016.
“Adik saya ini banyak memberi tunjuk ajar agama kepada kami sekeluarga.
“Malah arwah juga seringkali diminta oleh penduduk di Bestari Jaya untuk menjadi imam,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.