MELAKA – Dua buah dapur hotel di Ayer Keroh di sini, diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka susulan penemuan najis tikus dan lipas di premis berkenaan dalam satu operasi pada minggu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata, pemeriksaan yang dilakukan pada 11 dan 12 November lalu mendapati bahagian dapur hotel berkenaan bukan sahaja kotor namun terdapat najis binatang.
Menurutnya, pemantauan keselamatan makanan yang dilakukan juga mendapati sebanyak enam buah hotel dikenal pasti mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.
Katanya, sebanyak 33 kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai RM11,475 terhadap hotel lain di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Dalam operasi itu, sebanyak 41 buah hotel telah diperiksa oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).
“Dua hotel yang dikesan terdapat najis lipas dan tikus diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Tambah beliau, operasi dilakukan sempena pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Dunia, (WTD) 2025 yang bakal berlangsung pada 27 September tahun depan serentak dengan Persidangan Pelancongan Dunia, (WTC) 2025.
“JKN Melaka akan terus meningkatkan pemantauan ke atas semua premis- premis khususnya hotel di negeri ini.
“Oleh itu, pengusaha hotel dan premis makanan disarankan sentiasa menyediakan makanan yang selamat dan menjaga kebersihan selaras pematuhan akta mengikut undang-undang,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.