KUALA SELANGOR – Panggilan telefon menjadi perbualan terakhir seorang wanita dengan anaknya yang terlibat dalam kemalangan maut di Putrajaya, tengah malam Rabu.
Kejadian yang turut mengorbankan tiga lagi individu berlaku selepas kereta dinaiki mereka terbabas berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Abang mangsa, Mohd Sufri Mohd Nuzi, 35, berkata, ibunya, Wan Nor Fiza Muhammad Kamarudin, 56, memaklumkan adiknya, Muhammad Danial, 24, sempat menghubunginya kira-kira jam 8 malam sebelum kejadian.
“Ibu sebak sebab dia seakan tidak percaya itu kali terakhir dia dapat mendengar suara Danial buat kali terakhir.
“Ibu beritahu saya, arwah juga sempat mengirim duit belanja kepadanya, namun tidak menyangka Danial sudah tiada buat selamanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Pancaran, Bestari Jaya di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Sufri, Danial merupakan anak kelapan daripada 10 beradik dan menetap di Ijok manakala ibu mereka di Pontian, Johor.
Katanya, ibu dan bapa mereka, Mohd Nuzi Tamli, 57, telah berpisah kira-kira 10 tahun lalu.
Menurut Mohd Sufri, berita kejadian kemalangan meragut nyawa adiknya itu diketahui bapa mereka semasa berada di tempat kerja di Petaling Jaya.
“Sebenarnya kami mengetahui kejadian ini lewat iaitu kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas seorang rakan kepada arwah menghubungi adik perempuan saya.
“Kebetulan hari ini saya tidak bekerja kerana demam, dapat juga saya menguruskan adik-adik di sini, manakala ayah pula dari tempat kerjanya terus ke Hospital Putrajaya untuk menuntut jenazah,” ujarnya.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya semasa mereka berkumpul beramai-ramai di rumah bapa mereka di Bestari Jaya pada Sabtu lalu.
“Danial nampak ceria dan banyak tersenyum dan itulah kenangan terakhir arwah yang akan kami simpan sebagai kenangan,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, empat termasuk dua wanita disahkan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas merempuh penghadang jalan berhampiran sebuah pusat beli belah di Putrajaya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dimaklumkan kemalangan itu yang berlaku kira-kira jam 1 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan.
Kemalangan mengakibatkan pemandu dan tiga penumpang berusia 24 hingga 41 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.