Hassan Karim dinobat penerima Anugerah Semangat LLG 2024

Hassan Abdul Karim

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dinobat sebagai salah seorang penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok (LLG) ke-37 2024 atas keberanian beliau menongkah arus populisme, kaum dan agama untuk menegakkan keadilan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Anugerah Semangat LLG dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina, Pusat Pambangunan Kebudayaan LLG sejak 1988 bagi memperingati perjuangan Mendiang Lian Geok sebagai bekas Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Anugerah, Yow Lee Fung berkata, meskipun menjadi ahli Parlimen barisan belakang kerajaan (backbencher) namun Hassan yang mesra disapa sebagai Pak Hassan tetap berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan keadilan dan kedaulatan undang-undang serta tidak berganjak walaupun dibadai gelombang populisme.

“Beliau tidak teragak-agak untuk menongkah arus dan membongkarkan kebatilan sekiranya perlu. Kelantangannya bukan sahaja mengejutkan tetapi menyedarkan.

“Beliau tidak mengejar populariti atau kepentingan diri dalam politik. Ketegasan dan keberaniannya yang tulus menyerlahkan dirinya sebagai ahli Parlimen yang terbilang,” katanya pada sidang akhbar pengumuman senarai lima penerima anugerah berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG pada Khamis.

Pemilihan Hassan sebagai penerima anugerah dicadangkan oleh penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat.

Menerusi tayangan video pada sidang akhbar berkenaan, Chin Huat berkata, pemberian anugerah kepada Hassan itu memberi dua makna yang cukup besar bagi tempoh enam tahun selepas Malaysia mengalami peralihan demokrasi dan dua tahun setelah Kerajaan Madani berkuasa.

“Ini pengiktirafan untuk keberanian beliau menongkah arus populisme, kaum dan agama. Mudah untuk mana-mana ahli politik mengejar arus populisme atas nama rakyat demi meraih undi.

“Pak Hassan mengambil jalan sebaliknya. Daripada meraih tepukan, beliau memilih untuk menghadapi tohmahan demi memperjuangkan prinsip yang dipercayai beliau tanpa mengira kaum, agama dan parti,” ujarnya.

Chin Huat menegaskan, Hassan lantang mengkritik menteri yang menyebabkan kontroversi selain tidak pernah ‘play safe’ atau mengambil jalan selamat kerana keselamatan dalam kerjaya politik dan keselamatan peribadi bukanlah sebab beliau menceburi politik.

Katanya, Hassan menyertai politik untuk menjadi suara kepada mereka yang lemah, di pinggir, dizalimi selain beliau tidak memilih bulu.

“Sebagai contoh beliau menentang Akta Hasutan dengan menyifatkan ia sebagai akta zalim legasi penjajahan British.

“Beliau mengecam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana memainkan sentimen kaum dan agama tetapi apabila Muhamad Akmal disiasat di bawah Akta Hasutan beliau membantah dan menawar diri sebagai peguam bela untuk Muhamad Akmal.

“Pak Hassan juga tidak pernah mempamerkan diri sebagai pemimpin yang alim akan tetapi dari pengamatan saya beliau antara tokoh pemimpin Muslim yang paling berkesan menonjolkan keindahan dan kebesaran Islam menerusi semangat berani dan meraikan kepelbagaian yang ada padanya,” jelasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply