KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan seekor anak kambing gurun yang tersesat di tapak kuari di Bandar Mahkota Cheras pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anak kambing gurun betina berusia kira-kira dua minggu itu dijumpai kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam, anak kambing gurun itu dipercayai telah terpisah daripada ibunya sebelum ditemui di lokasi terbabit.
“Anak kambing gurun itu dijumpai dalam keadaan sihat dan kini berada di Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk penjagaan lanjut.
“Terima kasih kepada orang awam yang segera melaporkan kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, orang awam yang menjumpai hidupan liar dalam situasi bahaya diminta untuk segera menghubungi talian Hotline Perhilitan 1-800-88-5151 dalam usaha bersama melindungi khazanah alam.
Tegasnya, kambing gurun atau nama saintifiknya (Capricornis Sumatrensis) disenaraikan sebagai dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Ancaman terbesar bagi kemandirian hidupan liar ini ialah pemburuan haram untuk perdagangan. Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk melaporkan sebarang penemuan hidupan liar,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.