MELAKA – Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri beg tangan dan dompet milik pelanggan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini berjaya dicekup polis pada Rabu.
Suspek berusia 45 tahun dan mempunyai empat orang anak ditahan lebih kurang 7.35 malam selepas polis menerima laporan mengenai kes kecurian beg tangan dan dompet di pasar raya tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota daripada Balai Polis Ayer Keroh bergegas ke lokasi dan mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan berjalan dari arah pintu masuk pasar raya menuju ke kawasan parkir.
Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dipercayai baru selesai mencuri dompet dan bergegas keluar dari surau sebelum berjaya ditahan oleh anggota balai polis berkenaan yang membuat penyamaran.
Katanya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak awal tahun ini dan tujuh kes kecurian dilaporkan di surau pasar raya terbabit.
“Hasil pemeriksaan dalam beg sandang yang dibawa suspek menjumpai dua dompet di dalamnya terdapat dokumen milik beberapa individu lain dipercayai mangsa kejadian curi.
“Kesemua barangan yang diperiksa telah dirampas dan kini suspek ditahan di lokap di Balai Polis Malim dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Jelasnya, semakan lanjut mendapati suspek yang beralamat di Pulau Pinang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah sama dan enam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.