Guan Eng patut bangga, Afghanistan kagumi sistem pendidikan negara

Laporan Sinar Harian pada Rabu.

IPOH – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sepatutnya berbangga apabila sistem pendidikan negara ini menjadi rujukan Afghanistan.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim berkata, pengiktirafan diberikan Afghanistan itu membuktikan Malaysia contoh negara Islam moden yang dapat membawa perubahan positif kepada masyarakat global.

“Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan demokratik, berada dalam kedudukan unik untuk mempengaruhi secara positif pembangunan negara-negara Islam lain.

“Kita sepatutnya berbangga kerana Afghanistan memilih Malaysia sebagai rujukan dalam pembangunan sistem pendidikan mereka.

“Ini membuktikan kejayaan model pendidikan Malaysia yang mengimbangi nilai-nilai Islam dengan kemodenan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.

Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dimaklumkan kepada umum, termasuk dilibatkan sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Khairol Najib berkata, pihaknya memahami kebimbangan yang dibangkitkan, namun dalam hal itu adalah penting untuk melihat konteks lebih luas dalam hubungan diplomatik antarabangsa.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang matang dan berpandangan jauh, pendekatan yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka ruang dialog dengan Afghanistan adalah tepat dan strategik.

“Penglibatan diplomatik tidak bermakna Malaysia berkompromi dengan prinsip-prinsip asas kita.

“Sebaliknya, keterbukaan ini membolehkan kita mempengaruhi perubahan positif dari dalam, membantu Afghanistan membentuk dasar pendidikan yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar pemimpin parti terutama yang berada dalam barisan kerajaan mengelak sikap skeptikal yang melampau dan memberi ruang kepada usaha kerajaan memainkan peranan yang lebih bermakna dalam isu global.

“Kritikan yang dibuat perlu mengambil kira realiti diplomasi antarabangsa dan kepentingan penglibatan konstruktif dalam membawa perubahan,” katanya.

Memetik laporan media pada 16 November lalu, Fadhlina mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Menurut Fadhlina yang lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply