Mayat ibu dalam peti sejuk beku: Hentakan objek tumpul di dada punca kematian

Laporan Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Wanita warga emas yang dibunuh anak kandungnya sebelum mayat disimpan dalam peti sejuk beku disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh kes pembunuhan wanita berusia 80-an yang ditemui dalam peti sejuk beku di rumah teres dua tingkat di Taman OUG, di sini, pada 12 November lalu.

“Laporan awal mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada akibat hentakan objek tumpul.

“Mayat mangsa telah dituntut oleh suaminya pada jam 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas mereka terpisah sejak sekian lama kerana membawa haluan berasingan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Rusdi berkata, suami mangsa sebelum ini menetap di Manjung, Perak, hanya mengetahui kejadian ini melalui laporan yang disiarkan media.

“Lelaki itu kemudian tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Rusdi berkata, pihaknya bagaimanapun setakat ini masih belum dapat mengesahkan jangka masa kematian mangsa sehingga laporan penuh bedah siasat dikeluarkan pegawai perubatan Jabatan Forensik.

Mengulas mengenai suspek, Rusdi berkata, anak lelaki mangsa berusia 53 tahun itu, kini telah selesai mendapatkan rawatan di PPUM akibat masalah kesihatan kronik sejak dia diberkas.

“Suspek telah selesai menjalani rawatan di PPUM pada jam 6 petang semalam (Rabu) dan kini ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Suspek telah ditahan reman sehingga 26 November ini,” katanya.

Setakat ini pihak polis sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.

Pada 12 November lalu, media melaporkan perbuatan lelaki itu terbongkar selepas kediamannya diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada suspek kira-kira 9 pagi.

Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku.

Menurut sumber, suspek mendakwa membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada 2021.

Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Sepasukan polis telah menahan suspek di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply