Sindiket tawar kad pemastautin tetap palsu tumpas

Kumar

JOHOR BAHRU – Sindiket menawarkan kad pemastautin tetap palsu dengan caj RM7,000 bagi setiap pelanggan tumpas selepas 13 individu ditahan dalam serbuan selama tiga hari yang diadakan bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di beberapa premis sekitar Kulai, Seri Alam, Johor Bahru dan Kajang, Selangor.

Menurut beliau, serbuan dilakukan di premis-premis dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penjualan kad pemastautin tetap negara ini yang disyaki palsu kepada warga asing.

“Seramai 13 individu ditahan terdiri daripada enam warga tempatan dan tujuh warga asing berusia antara 27 hingga 44 tahun.

“Mereka berperanan sebagai pembuat, pengedar dan pembeli kad pemastautin tetap yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kumar memberitahu polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat kad pemastautin palsu.

“Antara yang dirampas sembilan kad pemastautin tetap, satu kad pengenalan disyaki palsu, satu kad perakuan nikah disyaki palsu dan tiga unit cap berlogo agensi kerajaan disyaki palsu.

“Ia termasuk sembilan keping gambar berukuran pasport, 10 unit telefon bimbit, dua set komputer, sebuah komputer riba, dua mesin pencetak dan sebuah mesin membuat cap getah selain beberapa keping kertas disyaki digunakan untuk mencetak kad palsu,” katanya.

Jelas beliau, sindiket dipercayai beroperasi sejak September lalu dan mengenakan bayaran RM7,000 bagi setiap pelanggan dengan menyasarkan warga asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan bergerak sendiri tanpa membabitkan lain-lain kumpulan dan mana-mana agensi kerajaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, serta Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1959 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” ujarnya.

Tambah beliau, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam dan mendapat arahan pertuduhan ke atas dua suspek warga tempatan iaitu seorang suspek mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1959 kerana memiliki kad pengenalan palsu.

“Seorang suspek akan dituduh mengikut Seksyen 89 Akta Polis kerana memiliki cap getah logo polis tanpa kebenaran di mahkamah Majistret Kulai pada Khamis.

“Baki lima suspek warga tempatan dijadikan saksi pendakwaan manakala enam warga asing, siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk arahan selanjutnya,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply