KAPTEN Peru, Paolo Guerrero menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan pengadil ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium La Bombonera itu menyaksikan keputusan pengadil menjadi perhatian terutama ketika membabitkan bintang Argentina, Lionel Messi.
Guerrero tidak berselindung dan mengkritik pengadil sambil menyifatkan ia sebagai layanan tidak adil terhadap pasukannya.
“Saya tidak tahu analisis apa yang anda semua buat untuk permainan ini, tetapi secara fizikal saya fikir kami setanding dengan Argentina.
“Namun, sukar apabila pengadil mempengaruhi permainan, dia terus memberi tekanan kepada kami. Kami telah ditolak, dan tiada satu pun kesalahan kepada lawan.
“Tetapi, sebaik sahaja anda menyentuh Messi dengan jari, kami yang dipersalahkan. Tiada siapa yang mengatakannya kerana ia adalah Messi,” kata Guerrero.
Kekalahan kepada Argentina itu menyaksikan Peru berada di kedudukan tercorot kelayakan Piala Dunia CONMEBOL dengan hanya satu kemenangan dari 12 perlawanan, manakala Argentina pula kekal di kedudukan teratas dengan 25 mata.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.