Jangan kata Presiden ISTAF, Presiden PSM juga saya belum tentu saya tawar diri — Sumali

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, belum mahu memikirkan mengenai ura-ura dirinya  menjadi antara calon utama untuk mengisi jawatan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Sebaliknya, dia meletakkan fokus sepenuhnya kepada pembangunan sepak takraw dalam negara memandangkan pemilihan ISTAF masih terlalu jauh, yang dijangka pada 2026.

Bahkan, Sumali turut tidak menolak kemungkinan dirinya bukan lagi Presiden PSM pada ketika itu.

Terdahulu, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dilaporkan bersedia untuk mencalonkan nama Sumali untuk bertanding jawatan Presiden ISTAF.

Bercakap sebagai tetamu jemputan dalam Nadi Arena sebentar tadi, dia berkata: “Saya tidak pernah lagi mengumumkan atau menyebut di mana-mana bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden ISTAF.

“Rakan-rakan dari dalam dan luar negara yang menyebutnya. Pada saya, pemilihannya lama lagi, pada 2026.

“Yang akan tiba dahulu ialah pemilihan PSM. Tahun depan akan ada pemilihan PSM.

“Jangan kata menawarkan diri untuk Presiden ISTAF, untuk Presiden PSM juga saya belum tentu menawarkan diri. Kemungkinannya ke arah itu.

“Apabila bercerita mengenai ISTAF, sudah tentu ia satu perkara yang besar kerana ia badan induk dunia. Ia memerlukan fokus yang lebih besar dan mendalam.

“Kerana itu saya memikirkan tanggungjawab saya di PSM masih banyak walaupun setakat ini sepak takraw di negara kita boleh dikatakan membanggakan.

“Saya perlu melahirkan ramai lagi bakat baru, ramai lagi pemain muda yang boleh setanding, seiring dengan pemain senior. Itulah perkara yang perlu saya tumpukan terlebih dahulu.

“Kerana itulah ia masih terlalu awal untuk saya memikirkan mengenai jawatan Presiden ISTAF dan jawatan Presiden PSM juga belum tentu saya mahu kekalkan,” katanya.
 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply