PULAU INDAH – Tindakan nelayan tidak memakai jaket keselamatan dikhuatiri boleh mengundang kecelakaan dan mengancam nyawa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, pemakaian jaket keselamatan penting sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.
“Pemakaian jaket keselamatan ini kita lihat masih berada pada tahap yang rendah, dan kita mahu soal ini dititik berat oleh komuniti nelayan keseluruhannya.
“Jaket keselamatan ini satu benda yang sangat penting misalnya terjadi sebarang kejadian misalnya akibat cuaca buruk, bot yang dinaiki karam, dengan adanya jaket keselamatan sekurangnya dapat menyelamatkan nyawa seseorang itu sebelum bantuan tiba,” katanya.
Beliau berkata kepada Sinar Harian selepas Program Sahabat Maritim Malaysia Selangor di perkampungan Orang Asli, Pulau Indah pada Rabu.
Katanya, jaket keselamatan merupakan satu aspek wajib ketika berada di laut.
“Sebenarnya tindakan mengikut undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak termasuk nelayan sendiri sekiranya tidak mematuhi penggunaan jaket keselamatan ini.
“Bagaimanapun buat masa ini, Maritim Malaysia Selangor khususnya menggunakan kaedah advokasi terlebih dahulu, kita santuni komuniti nelayan dan berikan taklimat berkaitan kepentingan jaket keselamatan ini,” katanya.
Menurutnya, seseorang yang memakai jaket keselamatan itu dapat bertahan di laut sekurang-kurangnya tiga hari.
“Jaket keselamatan ini ada pelbagai jenis, dan paling utama ia berfungsi sebagai penyelamat bagi seseorang dan mengelakkan seseorang itu lemas ketika terjatuh di dalam air.
“Apabila seseorang itu memakai jaket keselamatan, ia dapat memastikan seseorang itu bertahan sekurangnya dalam tempoh sekurangnya tiga hari sebelum diselamatkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai program ini, Mohd Fairusnizam berkata, program sahabat maritim yang dijalankan kali ini sebagai usaha dalam menyantuni komuniti terutamanya masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata, program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Kita turun bersama dengan masyarakat orang Asli ini, berbicara dengan mereka berkaitan soal maritim selain memberikan pendedahan berkaitan aspek-aspek keselamatan di lautan.
“Komuniti Orang Asli di Pulau Indah ini majoritinya terdiri daripada nelayan, jadi masa sama kita terangkan kepada mereka berkaitan fungsi dan peranan Maritim Malaysia serta kita turut mendengar pelbagai isu berbangkit yang disampaikan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.