Pembangkang beri amaran kerajaan berisiko dapat gred lebih rendah

Shahidan (tengah) ketika sidang akhbar bersama ahli Parlimen pembangkang di Pusat Media Parlimen pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan berkemungkinan mendapat gred lebih rendah daripada D sekiranya suara rakyat diambil kira dalam penilaian sepanjang dua tahun mentadbir negara.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, penilaian dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu menunjukkan pentadbiran yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan masalah.

Ini kerana katanya, umum mengetahui kumpulan berkenaan memberi pengiktirafan tinggi kepada Ahli Parlimen Tambun sebelum ini.

“Kerajaan perlu buat sesuatu dan rakyat sedang melihat sekarang. Rakyat kalau bagi saya percaya mereka bagi E.

“Tapi Bersih, alhamdulillah dapat gred D,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Rabu.

Bersih menerusi pembentangan kad laporan kerajaan pada Selasa memberikan pentadbiran pimpinan Anwar gred D bagi penilaian pertengahan penggal kerajaan Madani.

Penilaian prestasi tersebut dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara.

Kumpulan reformasi pilihan raya itu turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.

Sementara itu, Shahidan dalam masa sama yang dihadapi Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa.

“Mereka (Bersih diketahui) menyokong kerajaan (Anwar) tetapi hari ini hampir semua daripada kami (pembangkang) terpitam kerana Bersih telah beri markah D pada kerajaan.

“D ni apa makna? Siapa dapat markah D dia boleh terus bernafas tetapi dalam keadaan yang cedera. Kecederaan ini perlu dibuat pembaharuan serta-merta,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply