KUALA LANGAT – Tujuh lelaki warga asing ditahan untuk siasatan kes tikam dan bunuh di Telok Panglima Garang, di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian selepas menerima panggilan MERS999 kira-kira jam 7.20 petang daripada seorang wanita tempatan yang melihat mangsa terbaring di tepi jalan.
Katanya, pihak Hospital Banting yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang ditikam di bahagian rusuk kiri.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian mendapati seorang lelaki yang bergelut dengan mangsa sebelum melarikan diri.
“Suspek menggunakan senjata pisau dan menikam mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bertindak hasil maklumat, kata beliau, kira-kira jam 9 malam, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dengan dibantu anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah menahan tujuh lelaki warga asing.
Tambah Mohd Sufian, kesemua suspek berusia 30 hingga 49 tahun telah direman enam hari sehingga 25 November untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti punca kejadian dan penglibatan kesemua suspek dalam kes berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.