UMNO, UMNO Selangor diberi tempoh lanjutan selesaikan saman RM19.5 juta SRC

Mahkamah Tinggi memberikan lanjutan masa selama seminggu kepada UMNO dan UMNO Selangor untuk mengemas kini mengenai penyelesaian saman.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memberikan lanjutan masa selama seminggu kepada UMNO dan UMNO Selangor untuk mengemas kini kepada mahkamah mengenai penyelesaian saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan menerima RM19.5 juta daripada syarikat-syarikat itu pada 2015.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO, dan Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili UMNO Selangor.

Perkara ini tidak dibantah oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili plaintif (SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd).

“Seperti yang kami maklumkan kepada Yang Arif, rundingan penyelesaian sedang dijalankan dan kami memohon beberapa hari lagi sehingga 27 November,” kata Razlan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November bagi pihak-pihak berkenaan untuk mengemas kini status penyelesaian.

Plaintif memfailkan dua saman itu pada Mei 2021, dengan yang pertama ialah mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan dipindahkan kepada UMNO.

Ketiga-tiga mereka (plaintif) mendakwa bahawa UMNO tahu, atau sepatutnya tahu, bahawa wang itu adalah milik SRC, dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Saman kedua merujuk kepada usaha mendapatkan semula RM3.5 juta daripada UMNO Selangor, jumlah yang mereka dakwa telah diterima secara salah oleh parti itu. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply