KUALA PILAH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa berurus niaga menggunakan wang kertas palsu bernilai RM100 dalam kejadian di sekitar premis Pekan Kuala Pilah pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, laporan polis mengenai kejadian itu telah diterimanya pada Isnin jam 10 pagi daripada seorang wanita iaitu petugas kaunter di sebuah pasaraya.
“Lelaki berkenaan menyerahkan RM100 untuk membeli gel rambut, setelah petugas itu menyedari duit berkenaan palsu, lelaki tersebut bertindak melarikan diri.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berkenaan telah beredar menggunakan kereta jenis dan warna tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, kes telah dibuka di bawah Seksyen 489 (B) Kanun Keseksaan dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Sarjan Maznah Salleh ditalian 06-4811222 atau datang ke balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, terdapat beberapa peniaga lain yang mendakwa turut menjadi mangsa lelaki itu selain berkongsi mengenai kejadian itu di laman sosial Facebook sebagai peringatan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, seorang peniaga lelaki warga emas, 80-an yang enggan dikenali berkata, lelaki berkenaan datang ke premisnya untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbit bernilai RM40 sebelum memulangkan baki sebanyak RM60.
“Saya lihat wang berkenaan macam wang kertas yang asli tidak sangka pula ia palsu dan itulah kejadian pertama berlaku sepanjang 60 tahun saya berniaga di pekan ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.