BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang mengarahkan kontena dagangan berisi batang buluh dari China seberat 6,025 kilogram berpatah balik ke negara asal.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, dagangan yang dianggarkan bernilai RM 47,701.67 itu tidak dibenarkan masuk selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), pada Rabu.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas mendapati terdapat maklumat yang berbeza dan mengelirukan pada dokumen import serta penemuan bahan cemar pada barang dagangan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Muhammad Ikram berkata, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 14(b), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Katanya, mana-mana pihak yang mengimport apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eksport negara.
“Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri pertanian negara,” katanya lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.